Thursday, June 07, 2007

Kitaran

Hmmm baru semalam dalam entri aku, aku konon-kononnya cuba buat 'lawak' mengenai penyakit mata yang mudah merebak seperti wabak-wabak lain yang berbahaya. Hari ini keluar berita virus selsema burung di Sungai Buloh. Berpuluh-puluh ayam kampung ternakan dijumpai mati dan hasil ujian yang dijalankan mengesahkan kehadiran virus H5N1 di kawasan tersebut. Kawasan di sekitar Kampung Paya Jaras Dalam, Hulu dan Hilir dilaporkan di dalam pemantauan pihak berkuasa. Alhamdulillah rakyat di negara kita ini boleh dikatakan peka dan sensitif dengan perkara sebegini. Penternak yang memiliki ayam kampung yang mati itu juga boleh dikatakan seorang yang bijak kerana terus melaporkan kepada pihak berkuasa sebaik sahaja mendapati ayam ternakannya mati bergelimpangan. Setakat ini tiada jangkitan ke atas manusia yang dilaporkan.

Mustajab? Tapi aku tidak memiliki apa jua kuasa memakbulkan kata-kata aku sendiri. Dan aku bukannya Desmond David Hume dalam cerita Lost yang mempunyai anugerah melihat lintasan gambaran di masa hadapan. Celupar? Mungkin jugak. Aku minta maaf kalau ada yang marah. Selsema burung, seperti mana berjenis wabak berbahaya yang lain, bukannya suatu yang boleh dibuat main. Aku akan lebih berhati-hati selepas ini. Sebab itulah, mulut kita ini (ataupun dalam alam siber, jari kita ini) perlu melahirkan perkataan yang baik-baik sahaja. Contohnya, melahirkan harapan supaya perniagaan kita berjaya, pelajaran kita cemerlang, dapat naik pangkat dan bermacam lagi. Ataupun kita menyebut supaya dimurahkan rezeki atau dikurniakan anak.

Ehem ehem. Isnin lepas, isteri aku yang masih berada di Kedah memberitahu penanda ujian kehamilan yang dilakukannya sendiri menunjukkan 2 garisan yang menandakan dia hamil. Dia hanya ingin menghilangkan rasa curiganya terhadap ketidakselesaan yang sering dialaminya sejak kebelakangan ini. Dan pagi semalam, dia membuat scanning... alhamdulillah. Segala puji bagi Allah. Ya, isteri aku telah hamil 6 minggu. Secara jujur kami memang tak menjangkakannya. Sekali lagi, baca kembali entri Kahwin aku 25 Mei lepas. Salah satu dari impian aku dalam masa 5 tahun dari sekarang ialah seorang lagi anak. Mustajab? Premonition?

...Yang Mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya)...

Segala puji bagiMu ya Allah, Yang Menjadikan kami dari tiada kepada ada.

Wednesday, June 06, 2007

Wabak

Segala-galanya pernah berlaku dan akan berlaku lagi. Penyakit berjangkit yang merebak bagaikan lidah-lidah api menjamah lalang kering menimbulkan ketakutan dan kesedihan di kalangan manusia sejagat. Black Death adalah salah satu wabak yang membawa kemusnahan besar dalam sejarah manusia. Bermula di barat daya Asia, tersebar ke Eropah pada akhir 1340an, jumlah kematian yang dicatatkan dianggarkan sebanyak 75 juta nyawa, dan 20 juta daripadanya di Eropah sahaja. Hampir dua pertiga penduduk Eropah lenyap akibat wabak ini. Antara waktu itu dan kini, banyak lagi wabak penyakit yang melanda dan para saintis tidak pernah mengalah menjalankan kajian dan menghasilkan ubat-ubatan baru. Yang terkini, SARS dan selsema burung yang walaupun seakan-akan tiada ubatnya tetapi terkawal dan tidak tersebar luas seperti zaman dahulu.

Apa yang tidak diketahui ramai adalah di bahagian utara semenanjung, suatu penyakit sedang tersebar yang bermula di sebuah kampung kecil di kawasan Baling, Kedah. Penyakit yang dibawa oleh sepasang bayi kembar, telah menjangkit hampir 20 orang termasuk sepasang pengantin baru dan kini pembawa penyakit ini telah tersebar ke beberapa bahagian negara. Antara kawasan yang dikenalpasti adalah Petaling Jaya, Cyberjaya dan Unisel. Antara simptom yang dikesan pada para pesakit ini ialah mereka berperangai pelik seperti memakai cermin mata gelap di dalam rumah. Sudah pasti berita ini tidak disiarkan di mana-mana akhbar dalam negara kerana berita perkahwinan Pak Lah lagi sensasi dan juga kerana sia-sia sahaja nak buat orang panik. Takkan sakit mata pun nak kecoh.

Lain kali, kalau anda mengidap sakit mata, janganlah pergi bercampur dengan orang ramai. Sekiranya ada majlis penting seperti majlis perkahwinan sekalipun, adalah perlu untuk kita mengawal diri supaya tidak menyusahkan orang lain. Sebagai salah seorang yang dijangkiti konjunktivitis, amatlah terseksa bagiku apabila terpaksa memandu selama 8 jam pada waktu malam dari Kedah ke Kuala Lumpur. Lebuhraya sesak dengan manusia yang masih tak mengerti untuk menggunakan Touch N Go. Tetapi apabila doktor menghulurkan MC 2 hari... ok, aku dah masuk ofis. Mata putih aku pun dah kelihatan kembali. Sambung kerja.