Wednesday, June 06, 2007

Wabak

Segala-galanya pernah berlaku dan akan berlaku lagi. Penyakit berjangkit yang merebak bagaikan lidah-lidah api menjamah lalang kering menimbulkan ketakutan dan kesedihan di kalangan manusia sejagat. Black Death adalah salah satu wabak yang membawa kemusnahan besar dalam sejarah manusia. Bermula di barat daya Asia, tersebar ke Eropah pada akhir 1340an, jumlah kematian yang dicatatkan dianggarkan sebanyak 75 juta nyawa, dan 20 juta daripadanya di Eropah sahaja. Hampir dua pertiga penduduk Eropah lenyap akibat wabak ini. Antara waktu itu dan kini, banyak lagi wabak penyakit yang melanda dan para saintis tidak pernah mengalah menjalankan kajian dan menghasilkan ubat-ubatan baru. Yang terkini, SARS dan selsema burung yang walaupun seakan-akan tiada ubatnya tetapi terkawal dan tidak tersebar luas seperti zaman dahulu.

Apa yang tidak diketahui ramai adalah di bahagian utara semenanjung, suatu penyakit sedang tersebar yang bermula di sebuah kampung kecil di kawasan Baling, Kedah. Penyakit yang dibawa oleh sepasang bayi kembar, telah menjangkit hampir 20 orang termasuk sepasang pengantin baru dan kini pembawa penyakit ini telah tersebar ke beberapa bahagian negara. Antara kawasan yang dikenalpasti adalah Petaling Jaya, Cyberjaya dan Unisel. Antara simptom yang dikesan pada para pesakit ini ialah mereka berperangai pelik seperti memakai cermin mata gelap di dalam rumah. Sudah pasti berita ini tidak disiarkan di mana-mana akhbar dalam negara kerana berita perkahwinan Pak Lah lagi sensasi dan juga kerana sia-sia sahaja nak buat orang panik. Takkan sakit mata pun nak kecoh.

Lain kali, kalau anda mengidap sakit mata, janganlah pergi bercampur dengan orang ramai. Sekiranya ada majlis penting seperti majlis perkahwinan sekalipun, adalah perlu untuk kita mengawal diri supaya tidak menyusahkan orang lain. Sebagai salah seorang yang dijangkiti konjunktivitis, amatlah terseksa bagiku apabila terpaksa memandu selama 8 jam pada waktu malam dari Kedah ke Kuala Lumpur. Lebuhraya sesak dengan manusia yang masih tak mengerti untuk menggunakan Touch N Go. Tetapi apabila doktor menghulurkan MC 2 hari... ok, aku dah masuk ofis. Mata putih aku pun dah kelihatan kembali. Sambung kerja.

1 Comments:

Blogger blackpurple @ jowopinter said...

Kau punya intro begitu mengujakan untuk aku membaca perenggan2 seterusnya. Rupanya sakit mata.

Ha ha ha.

4:30 PM, June 06, 2007  

Post a Comment

<< Home