Friday, May 25, 2007

Kahwin

Musim cuti sekolah datang lagi. Seperti biasa, banyak majlis kenduri kahwin diadakan sepanjang cuti sekolah ini. Aku sendiri menerima 5 atau 6 jemputan kahwin dari saudara mara dan sahabat handai. Untuk berlaku adil, pat pat gi, jemput dulu, aku pergi. Memandangkan antara yang terawal 'menjemput' adalah majlis makcik isteriku, maka itulah majlis pertama yang akan aku hadiri. Mana taknya, dah sebelah rumah kat kampung kat Baling tu... dan menjadi undang-undang tak bertulis aku dan isteri, kalau cuti panjang, pasti balik ke Kedah dan kalau cuti pendek, balik ke Muar. Hari Raya Aidilfitri pula, masih setia mengikut giliran.

Majlis yang kedua akan aku hadiri, insyaAllah, adalah majlis rakanku, Shauki yang diadakan di Perlis. Aku cukup gembira kalau mendengar berita rakan-rakan seperjuanganku di Skudai menamatkan zaman bujang masing-masing. Lagipun aku berada di Kedah pada waktu itu, jadi alang-alang biar sampai ke Perlis. Lagi satu, Perlis adalah satu-satunya negeri dalam Malaysia yang aku belum sampai.

Teringat pula aku sewaktu aku menjalani proses pra-perkahwinan. Ujian darah dan temuduga menjadi perkara yang wajib di Johor, dan aku sempat menolong Ustaz yang menemuduga aku menyelesaikan masalah prepaidnya. Err, oi aku lulus temuduga sebab aku berjaya jawab semua soalan dengan lancar, ya. Merisik? Hahaha, akulah yang 'merisik' isteriku sendiri. Dengan selamba aku pergi ke Kupang, Baling dan bertemu dengan bakal keluarga mertua aku buat pertama kali dan terus menetapkan tarikh pertunangan. Bertunang? Alhamdulillah ramai yang menyertai rombongan pertunangan aku, dan mungkin kerana kepakaran taiko-taiko besar dalam keluarga kedua-dua belah pihak, hantaran yang dipersetujui tidaklah mengarut dan melampaui batas-batas adat ketimuran Eskimo Darat. Bernikah? Macam nak rak aku menghafal skrip ijab dan qabul dan juga mengawal pernafasan agar tak tersalah sebut nama bakal isteri dan juga bapa mertua... rupa-rupanya aku hanya perlu menjawab 'Aku terima nikahnya dengan yang tersebut'. Itu sahaja.

Kenapa aku sibuk mengimbas kembali saat-saat aku menjadi seorang suami?

Lima tahun yang lepas, pagi 25 Mei 2002, di sebuah masjid di Kampung Padang Lengkuas, Kupang, Baling, aku dinikahkan dengan Wan Nor Azian binti Biduzodin dan semalam adalah hari ulangtahun perkahwinan kami yang kelima. 5 tahun yang penuh warna warni.

Apa yang masih kekal sejak 5 tahun dahulu?
Peti sejuk, televisyen, set bilik tidur, jam tangan...

Apa yang bertambah sejak 5 tahun dahulu?
Balqis Hani, Bazli Hadi, mesin basuh (mula2 kawin basuh tangan aje), berat badan aku... our love...

Apa yang berkurang sejak 5 tahun dahulu?
Rambut aku...

Apa yang ada untuk 5 tahun lagi?
Rumah sendiri, kerja baru, seorang lagi anak, kereta yang sama (hopefully)...

Happy Annivessary, my dear. May Allah bless us all the way. Thanks for everything...

Thursday, May 17, 2007

Alasan

Ah lama sungguh aku meninggalkan blog ni. Kenapa lama aku tak update? Hmmm, kalau aku tak nak beri jawapan, boleh tak? Aku ingin melatih diri untuk tidak memberi alasan kerana aku merasakan aku semakin pandai mencari alasan dari memberi alasan. Memberi alasan ialah apabila mempunyai sebab, tetapi mencari alasan pada aku adalah lebih kepada mencipta sebab yang tiada. Jadi, mari kita teruskan...

******Delayed Transmission*****
Hujan yang turun sejak 2,3 hari lepas membuatkan aku hanya berkurung di dalam hotel dan bermain game. Walaupun Hotel Zon Regency (dulunya dikenali sebagai Eden Garden) ini mempunyai kompleks membelibelah di dalamnya, tetapi aku hanya mengambil masa tidak sampai satu jam untuk habis 'membeli tingkap'. Benci aku melihat anak-anak Melayu (tidak pasti Islam atau tidak) menjadi penjual arak.

Memandangkan ini adalah hari terakhir aku outstation di Johor Bahru, aku mengambil keputusan untuk keluar awal dari hotel dan pergi ke Kotaraya JB. Banyak kenangan aku di sini selama 5 tahun aku tinggal di JB satu ketika dahulu. Selepas meletakkan kereta di bumbung bangunan, aku segera berlari ke pintu masuk kerana hujan yang amat lebat. Sejuk dan basah, membuatkan aku terasa ingin terkencing. Sewaktu turun dari eskalator, aku ternampak satu tanda arah ke tandas dan terus mengikutinya, melepasi beberapa orang pemuda yang sedang lepak di kaki lima. Aku terlihat pintu tandas sudah terbuka dan tiada orang yang menjaga pintu untuk mengambil bayaran. Percuma kot. Terus aku masuk, pilih satu cubicle dan menyempurnakan hajat aku. Selepas bersuci, aku terdengar suara 2 orang wanita yang masuk dan berborak sambil menggunakan sinki. Pencuci tandas agaknya, fikirku. Tetapi minda separa sedar aku tidak membuatkan aku terus membuka pintu dan keluar.

Loghat mereka bukanlah loghat orang luar, dan suara mereka adalah suara muda. "akak tak pegi rebonding ke?"... "Entah lah fesyen tu macam payah je nak jaga" ... bla bla bla aku tak ingat apa lagi kerana aku tahu aku dah tersilap masuk tandas. Naluri aku mengingatkan aku untuk secure the place. Cepat-cepat aku keluarkan handphone aku dan menukar mode kepada silent. Jangan ada yang menghubungi aku sewaktu peluh sudah mula mengalir di leher. Aku tahu apa akan terjadi kalau aku ditangkap berada di dalam tandas wanita. Bukan kerana aku pernah ditangkap tetapi kawan baik aku yang ditangkap sewaktu mencari tisu di dalam tandas wanita di pejabat kami. Dia tidak menyangka masih ada pekerja wanita yang bekerja larut malam tetapi sudah memang nasibnya tidak baik, ada. Tidak mengapalah, kesnya sudah ditutup dan dia didapati tidak bersalah. Aku?

Masa yang sekejap aku rasakan begitu lama. Argh, sudahkanlah perbualan dan keluarlah dari sini, jerit aku di dalam hati. Janganlah sampai masuk lagi 3,4 orang perempuan yang bercerita tentang Mawi pulak lepas ini. Terseksa sungguh aku. Kemudian salah seorang dari mereka melangkah keluar dari tandas dan seorang lagi masuk ke salah satu cubicle di sebelah aku. Aku menunggu seketika dan membuka sedikit pintu untuk memastikan tiada sesiapa di luar. Line clear. Aku meluru keluar dan pemuda-pemuda tadi sedang berkumpul di luar tandas lelaki yang berhadapan dengan tandas wanita yang aku masuk. Dalam keadaan begini, bakat lakonan yang asli amatlah diperlukan. Aku pasti muka macho Steven Seagal tidak boleh menyelamatkan aku. Dengan muka yang blank, mata yang dibulatkan dan langkah yang terhenti, aku ternganga dan melihat ke pintu yang bertentangan. Pemuda-pemuda tadi dengan spontan kata 'Salah masuk ke bang?'. 'Ha ah' jawab aku.

Dan aku tahu apa yang membuatkan aku termasuk ke tandas wanita. Tanda 'Sedang Dicuci' atau 'Tandas Licin' (aku tak ingat yang mana satu) digantung menutupi simbol 'Tandas Wanita'. Hampeh. Dengan keadaan aku yang terkucil nak terkencing, sebarang bilik yang menyerupai tandas amatlah dicitakan. Tidak sempat memeriksa lambang. Aku melangkah dan menggelengkan kepala (sambil kaki aku menggigil) dan meninggalkan para pemuda tadi gelak-gelak kecil. Aku terus menuju ke kedai cenderamata, membeli ole-ole untuk Balqis dan Bazli, dan sehelai tudung untuk isteriku. Dan aku terus tinggalkan Kotaraya, manalah tau kot-kot ada CCTV yang mengikuti pergerakan aku. Rancangan makan tengahari di tingkat atas Kotaraya terpaksa aku batalkan. Jangan cari pasal. Tiada alasan aku boleh bagi kalau aku tertangkap waktu itu.

*Budak-budak UTM semua dah duduk dalam ke? Aku lihat warung-warung di sekitar Taman Seri Puteri lengang, kosong tiada pengunjung.
*Untuk abang polis yang melihat sebuah kereta Celcom berpusing-pusing 4 kali di sekitar CP dan Komtar, maaflah bang, saya mencari jalan ke Stulang yang kali terakhir saya pegi pada tahun 1999 dahulu. Jalannya dah ilang...
*Hotel Zon Regency amatlah tidak sesuai untuk orang yang ingin tidur awal pada waktu malam. Bising.