Monday, January 07, 2008

Selamat Mengajar 2008

Beberapa bulan lepas, isteri aku, seorang guru, menghadiri temuduga untuk pengesahan lantikan (atau pengesahan jawatan? entah, aku pun tak faham sangat dengan sistem sumber manusia kerajaan) di Putrajaya. Ini merupakan temuduga kali keduanya setelah gagal kali pertama. Bukannya gagal kerana tidak dapat menjawab soalan, isteri aku adalah salah seorang personaliti yang aku kenal yang amat pandai menggoreng. Tetapi dia gagal kerana terlupa mematikan telefon bimbitnya, dan makciknya menelefonnya ketika ditemuduga, untuk bertanyakan status temuduga tersebut. Ironi.

Temuduga kedua, dia lebih bersedia. Telefon bimbitnya dimatikan lebih awal. Dan dia berjaya, alhamdulillah. Yang ingin aku kisahkan di sini ialah calon-calon yang lain, para guru muda. Aku hanya mengambil satu contoh sahaja, yang lain kalian boleh bayangkan sendiri bagaimana bersedianya mereka.

Untuk setiap sesi temuduga, terdapat seorang pembantu penemuduga yang banyak membantu para calon yang sedang menunggu di luar bilik. Beliau akan keluar masuk, memberikan bayangan soalan dan beberapa petua berguna untuk menghadap penemuduga yang tidak menentu perangainya. Dan kadang-kadang guru yang ditemuduga ini diberikan peluang keluar bilik mencari jawapan. Oh, fleksibel sungguh!

Sedang isteriku menunggu gilirannya untuk ditemuduga, seorang guru keluar dari bilik dengan keadaan cemas. Dia terus mengambil nota-notanya dan menyelak dengan pantas, mencari jawapan. Dia bukan orang yang pertama berbuat begitu, jadi isteri aku dan rakan-rakannya hanya membiarkan guru tersebut mencari jawapan kepada soalan yang mungkin amat susah. Kalau tak dapat, mungkin dia akan bertanya kepada mereka, biasalah. Tiba-tiba, pembantu penemuga keluar bilik dengan muka yang berkerut. "Hah, dah dapat jawapan apa itu 3M?" dia bertanya kepada guru tadi. "Membaca, menulis, mengira," jawab guru tadi dengan perlahan.

"Tau pun. Yang awak jawab Makan dan Minum tu kenapa?" pembantu penemuduga tadi separuh jerkah. Oh cikgu! 3M itukan asas. Aku tak kisah kalau para jurutera, doktor atau yang bukan guru tidak dapat mengingati apa itu 3M. Untuk guru tersebut, dan guru-guru serata Tanah Melayu, aku ucapkan Selamat Mengajar 2008 dan jangan lupa ambil sarapan pagi sebelum mengajar.

3 Comments:

Blogger blackpurple @ jowopinter said...

Hehehe!

Selamat mengajor untuk cikgu itu.

1:36 PM, January 07, 2008  
Blogger fajar said...

kesian betul kat cikgu tu.
tapi, aku mmg x tahan gelak baca entri ko ni.
ya ampunnn!

2:49 PM, January 08, 2008  
Anonymous Anonymous said...

hehehe....
:)
:)

2:23 PM, January 13, 2008  

Post a Comment

<< Home