Sunday, September 14, 2008

Shaking Da Ground...

Semalam aku mimpi ayah aku marah aku. Marah betul-betul. Rupa-rupanya lepas subuh tadi Abg Din, abang iparku telefon. Ayah nak bercakap dengan aku rupanya. Dia risau sebab dengar Khamis lepas ada gempa bumi kat Iran, dan ikut berita gegarannya rasa sampai ke UAE. Yup, memang rasa sampai ke Dubai. Aku sangkakan aku pening kepala, sebab puasa dan keadaan panas melampau di luar+sejuk melampau di dalam pejabat. Meja, kerusi dan partition aku bergoyang. Macam aku cakap, ingatkan pening kepala. Rupa-rupanya rakan sepejabat semuanya rasa. Bos aku angkat notebook dia dan terus keluar. Hampir seluruh umat Academic City keluar dari bangunan aku rasa.

Tapi sebagai x-Celcom HQ, pada aku setakat bangunan goyang ini perkara biasa. Kalau ada gempa bumi di Indonesia, hampir pasti Menara Celcom di Jalan Semarak dan Wisma Celcom di PJ turut bergoyang. Nak baca cerita lagi best? Baca berita ni. Dan baca blog Isti ni. Petanda tu, Isti. Tu petanda bahawa sudah sampai masanya. Sudah sampai masanya kau kahwin. Iye la, kerja, kerja jugak. Merantau, merantau jugak. Rugi.

Thursday, September 11, 2008

Perception Test

Singapura 2002

Aku dan Azizi Asraf melangkah meninggalkan dewan persidangan di Hotel Marriot dan menuju ke arah tenggara. Jam telah menunjukkan hampir 12 tengahari. Jumaat. Berdasarkan penerangan dari rakan kami, ada masjid di sepanjang Orchard Road ni. Cuma kami tak tau, jauh atau tidak dari hotel tersebut. Takkan kami nak tinggalkan solat Jumaat, kan, kalau dah ada masjid yang boleh dijejaki? Sampai di suatu simpang, kami lihat ada papan tanda belok ke kiri menunjukkan 'Masjid'. Alhamdulillah. Tapi selepas beberapa ketika, masih tidak kelihatan masjid yang dicari. Rupa-rupanya Masjid Al-Falah terletak di tingkat bawah sebuah bangunan komersial yang aku pun tak ingat namanya. Bukannya ada kubah macam masjid lain.

Cukup gembira melihat umat Islam yang tidak seramai di Malaysia itu bersama-sama menghidupkan masjid di tengah-tengah kota Singa ini. Ada juadah yang dijual untuk makan tengahari tetapi aku dan Azizi sudah merancang untuk makan percuma di hotel. Sewaktu aku melangkah ke tempat mengambil wudu', seorang remaja Cina melangkah masuk ke kawasan itu. Dengan jeans, t-shirt dan fesyen rambut seperti kebanyakan remaja Cina yang biasa kita lihat, dia terus menuju ke tandas masjid. 'Eh, selambanya dia ni, kurang ajar betul,' hati kecil aku berkata. Agaknya inilah nasib Islam di Singapura. Dihimpit dan dipandang rendah. Memandangkan orang lain pun buat tak tahu, aku terus duduk (ada tempat duduk) dan mula mengambil air sembahyang. Selesai mengambil wudu', aku menoleh ke kiri dan melihat remaja Cina tadi mengambil wudu' di sebelah aku. Aduhai, jahatnya aku...rasa macam kena lempang.

Singapura (lagi) 2007

Selesai sahaja kelas di Alexandra Park tengahari Jumaat itu, kami terus menuju ke perhentian bas dan mengambil bas ke Queensway, turun di Masjid Mujahidin untuk solat Jumaat. Lebih baik solat dulu, takut terkejar-kejar nanti kalau kami dahulukan makan. Setelah berada di dalam bas, baru kami perasan Faisal dan Shah tidak bersama kami. Pasti mereka makan dahulu.

Selesai makan, mereka bergegas ke perhentian bas. Mereka sedikit cemas melihat kami tiada di situ. Mungkin terdengar perbualan mereka yang mengharapkan masih ada bas lalu di situ, seorang pemuda Melayu menegur mereka. "Nak pergi mana?," tanya pemuda tersebut. "Nak pegi masjid Mujahidin, bang. Kawan-kawan kami semua dah pegi. Ada lagi tak bas yang pergi sana sekarang? Dah dekat Jumaat ni," tanya Faisal. "AA jangan risau, kat sini bas banyak lalu," jawab pemuda tadi, ramah. Dia pun bercerita tentang masjid di singapura dan pengangkutan awam Singapura yang memang diketahui cekap dan boleh diharap.

Tak lama kemudian, sebuah bas tiba. Pemuda tadi memberitahu "Haaa bas ni boleh pegi ke Masjid Mujahidin.". Faisal dan Shah pun berlari kearah bas yang berhenti. Faisal menoleh ke belakang. Pemuda tadi masih duduk di perhentian bas. "Bang, tak naik sekali?" tanya Faisal. "Errrr....saya lain," jawab pemuda tersebut. Faisal tengok Shah, Shah tengok Faisal.

*****************************************

Aku bukan nak bercerita pasal Singapura. Ia boleh berlaku di mana-mana. Apatah lagi di Dubai ni. Maha Suci Allah yang menjadikan manusia dari pelbagai bangsa dan rupa. Hanya hati kita yang kelam ini yang menyucikan apa yang kita suka dan mengharamkan apa yang kita benci. Ramai yang anggap datang ke tempat seperti Dubai ini hanya untuk mengumpul duit. Pertumbuhan ekonomi di Dubai, yang berlawanan arah dengan pertumbuhan rambut di kepala aku, menarik manusia dari seluruh dunia untuk mencari bahagian masing-masing. Tapi seperti yang pernah aku katakan kepada seorang sahabat, semua orang mencari harta, tetapi tak semua orang mencari rahmat Allah. It's everywhere.

Oh ya. Aku di Dubai sekarang sejak 24 Ogos yang lalu. Sampai bila? Aku tak tau. Tapi aku tak bercadang nak melihat anak-anak aku mengambil UPSR di sini (jangan tanya kat sini ada UPSR ke? Lu pikir la sendiri). Kalau rezeki aku lama di sini, lamalah aku di sini. Tugas aku ialah tie the camel and then pray. If this is a scene in The Pursuit of Happyness, I would say "This part of my life... this part right here? This is called "Independent". Why? I'll tell you later. Am I still not happy with my life? That's a perception test for you to take.

Untuk kawan-kawan di Celcom (dan sebelumnya di TMTouch), sekali lagi aku mengucapkan berbanyak terima kasih atas segala-galanya. Ampun dan maaf atas segala kesilapan sepanjang 8 tahun aku berada di samping kalian. Adzrin dan Intan, thanks for welcoming me here. Kalau nak tengok gambar, tunggu la aku beli kamera. Aku datang bawak baju je nih. Dan 8 paket lauk Brahim's.

Sunday, February 03, 2008

Tie Your Camel And Pray

Hari tu bayi kecil dah masuk wad sebab jaundice. Pada hari ulangtahun kelahiran aku mengikut tahun masihi, dia masuk wad lagi. Kali ini demam. Doktor dah ambil darah dan x ray. Dua-dua OK. Tapi punca demam masih tak diketahui.

Aku berdoa pada Allah. Orang kata, antara doa yang dimakbulkan ialah doa orang yang kurang dosa (nabi dan rasul je yang maksum). Aku pun mengajak dan mengajar Balqis berdoa.

'Balqis, Balqis sayang tak kat baby?'

'Sayang.'

'Kalau sayang, doa la pada Allah supaya baby sihat dan boleh keluar hospital.'

'Hmmm OK'

'Ikut ayah eh.'

'Hmmm OK.'


'Ya Allah, Ya Tuhanku...'

'Ya Allah, Ya Tuhanku...'

'Sembuhkanlah Batrisya Huda...'

'Sembuhkanlah Batrisya Huda...'

'Jadikanlah dia sihat walafiat...'

'Jadikanlah dia sihat walafiat...'

'Dan jauhkanlah dia...'

'Dan jauhkanlah dia...'

'dari sebarang penyakit...'

'dari sebarang penyakit...'

'Amiinnnn...'

'Ayah!!!'

'Huh, kenapa?'

'Amin tu kawan saya kat sekolah la...'

Haiiyyaa...


Alhamdulillah, esok harinya Batrisya Huda (yup, tu nama anak ketiga aku) dibenarkan keluar dari hospital. Dan tadi, isteri aku memberitahu beratnya kini dah 4.1 kg.

Dan jangan bawa anak anda ke kedai nombor ekor. Haram.

****************************

Pagi Khamis lepas.

Abg Meor menjerit memanggil aku dari tempat Sham, bos kami. "Bad! Mari sini!" jeritnya. Aku pergi ke tempat Sham, cuba meneka apa tujuan mereka panggil aku. Abg Meor tersenyum melihat aku sampai. "Bad, aku nak kau pergi Perda, boleh tak?" tanya Sham, juga tersenyum. Perlu ke aku jawab? Mereka tahu isteri aku sedang berpantang di Baling. Sepatutnya Abg Meor yang pergi ke sana. "Berapa lama, Sham?" tanya aku. "3 minggu," jawab Sham sambil menerangkan skop tugas aku di sana.

Hehehe, ini namanya ketam cina dalam tong. Abg Meor malas keluar outstation jauh-jauh, aku pulak tak perlu ambil cuti banyak-banyak dan memeningkan kepala merancang untuk berulang alik KL-Baling. Jadi, aku akan berada di Baling/Perda dari Raya Cina ini sampai la hujung bulan 2. Abg Meor pulak akan ke Kepong, cukup dekat dengan rumahnya di Kota Damansara. Alhamdulillah.

Thursday, January 24, 2008

The D-Day

Hehehe, panjang cerita ni...

Baru semalam aku rasa dah betul-betul selesai. Ok, 14 Januari 2008, isteri aku melahirkan anak kami yang ketiga. Untuk para bapa yang biasanya menguruskan sendiri hampir segala perkara berkaitan dengan kelahiran anak, pasti tahu dari saat isteri mula dimasukkan ke bilik bersalin, dari saat itulah punggung si suami tidak sempat panas di satu kerusi.

Selepas menerima SMS tersebut, aku terus menghubungi isteri aku. Dia dah beberapa kali merasakan perutnya memulas. Contraction? Mungkin, tapi dia tak merasakan apa-apa kesakitan. Dia sanggup tunggu hingga habis waktu persekolahan (pendidikan khas tamat pada pukul 12 tengahari) dan aku memutuskan supaya kami berjumpa di rumah sahaja (rumah-pejabat aku-sekolah dia-hospital semuanya dekat2). Mungkin kerana pasti saatnya semakin hampir, isteri aku terlupa mengambil Balqis di tadika Islam yang terletak hanya di belakang sekolah dia. Dari rumah, kami mengambil Balqis dan terus ke hospital. Sampai di depan klinik Dr Susanna, baru kami sedar ketika itu adalah waktu makan tengahari. Hehehe camana ni?

Alhamdulillah mereka yang bernama doktor ini, hidup mereka bukan macam kita. Selepas menunggu beberapa minit, Dr Susanna yang baru selesai mesyuarat membuka kliniknya dan terus memeriksa isteriku. OK, 4cm already. Masuk labor room eh? Selesai menghantar isteriku ke bilik bersalin (yang sama ketika melahirkan Bazli Hadi), aku menghantar Balqis pulang ke rumah, solat Zuhur dan datang semula ke hospital dengan motosikal aku bersama-sama air zam zam dan kurma. Isteri aku baru selesai bersalin apabila aku kembali ke bilik tersebut. Bersalin baju la. Tepat jam 2.30 petang, Dr Susanna datang dan memeriksa isteri aku dan dia mengambil keputusan untuk memecahkan air ketuban. Pengalaman berada bersama isteri sewaktu melahirkan Bazli menyediakan aku untuk saat2 sebegini. Aku menjangkakan dia akan bersalin dalam 3 jam dari sekarang. Oh, mak dan ayah mertua aku sedang bersiap sedia untuk bertolak dari Kedah untuk menyambut cucu ketiga mereka. Mak dan Ayah aku pula terpaksa menjaga 5 cucu mereka di Muar, dan aku faham sukar untuk mereka menyambut cucu ke 17 ini bersama-sama.

Selepas dipecahkan air ketuban, rasa sakit mula terasa. Jangan tanya aku macam mana sakitnya kerana perkara paling sakit yang dilalui seorang lelaki Islam normal hanyalah sunat (itupun sekali seumur hidup dan diberi gelaran anak jantan selepas itu hahaha). Sewaktu aku kecil, mak aku ada menceritakan tentang seorang tua di Jalan Sultan Ibrahim, Muar yang boleh memindahkan rasa sakit seorang isteri yang bersalin kepada suaminya. Tunggang langgang si suami menahan sakit sementara si isteri bersalin. Kau sanggup? Aku? Pass!!! Soalan lain, please...

Jururawat masuk ke bilik dan bertanya samada isteriku ingin mengambil suntikan menahan sakit. Bukanlah tidak sakit langsung seperti mengambil epidural. Jururawat menerangkan suntikan tersebut akan membolehkan isteri aku mengantuk, tidur sedikit2 dan sekaligus mengurangkan rasa sakit. Oh baru aku teringat sewaktu melahirkan Bazli, isteri aku ada mengambil suntikan yang sama dan rasa mengantuk, tetapi oleh kerana tidak faham fungsi suntikan tersebut, isteriku melawan rasa mengantuk dan apabila tiba masanya, dia keletihan dan terpaksa dibantu dengan vakum. Kali ini, aku membiarkan dia terlelap dan kadang-kadang tersedar apabila contraction semakin kerap. Dua penanda yang aku gunakan untuk mengetahui tahap kesakitannya. Pertama sebuah mesin yang memaparkan angka 2 digit (apa unitnya aku pun tak tau) dan kedua ialah genggaman tangan isteri aku. Semakin besar julat perubahan angka tersebut dan semakin kuat genggaman tangannya, aku tahu masanya semakin hampir. Sepanjang waktu itu aku berzikir perlahan-lahan dan dalam hati aku berulang kali berdoa kepada Allah dan memaafkan segala dosa dia terhadap aku.

Hampir 4.30 petang (kurang sejam dari jangkaan aku), isteri aku menyuruh aku memanggil Dr Susanna. Dia masuk bersama-sama 2 orang jururawat dan bersiap-sedia dengan pakaian yang sesuai. Mereka terkejut kerana seperti sebelum ini, mereka tidak menunggu lama. Autobots! Transform!!! Katil yang isteri aku baring bertukar menjadi sebuah kerusi. Bukanlah bertukar sendiri tetapi diubahsuai oleh jururawat. Aku berdiri memberi ruang untuk mereka menjalankan tugas dan mengambil sudut yang sesuai untuk aku melihat segala-galanya. Oh lupa, sebelum ini aku ada bertanya kepada Dr Susanna samada aku boleh mengambil rakaman video... tidak dibenarkan. Mungkin takut sesuatu yang tidak diingini berlaku dan rakaman video tersebut menjadi bukti, tapi aku tidak membantah sebab dah memang prosedur hospital tersebut. Alhamdulillah, aku rasakan mudah isteri aku bersalin kali ini (dan dia juga merasa begitu). Kurang dari 2 minit (aku pun kurang pasti sebenarnya sebab masa seakan-akan terhenti seketika) segala-galanya selesai. 4.35 petang bayi ketiga kami dilahirkan ke dunia. Subhanallah yang menjadikan kami dari tiada kepada ada.

Sekali lagi seperti sebelum ini, aku diberi penghormatan memotong tali pusat. Sementara Dr Susanna menyempurnakan tugasnya, jururawat meletakkan bayi kami di dalam pangkuan isteri aku. Beberapa ketika selepas itu, selepas bayi kami dibersihkan, aku menjalankan tugas aku sebagai seorang ayah, mengiqamat dan tahnik. Isteri aku telah pun pun tidur keletihan sewaktu aku mula menghantar dan menerima sms tahniah dari saudara mara dan sahabat.


3.48kg



Saya dah ada 2 adik!!!

Tahniah, Sarjan Bad. Terima kasih di atas semua ucapan tahniah dan juga doa untuk kami sekeluarga. Oh, ada juga yang mengucapkan 'selamat berpuasa' kepada aku. Oh kalau nak baca kisah pengalaman First Mum, pergi sini.

Monday, January 14, 2008

Get Ready

Dia mengadu lagi, baby dah jarang bergerak. Perut pun dah selalu memulas. Ada air dah keluar. Apa lagi, hospital!!!

Mak call dari Muar, sure dapat berita dari kakak aku, yang mula-mula dihubungi isteri aku. Kakak aku seorang pengamal perubatan.

Adik ipar no 2 hantar SMS. "kak yan dah masuk hospital ke?"

Adik ipar no 1 call "macam mana?"

Mak Mertua call dari Kedah "barang-barang dah ready? Yan sorang-sorang ke kat hospital tu?"











False alarm. Doktor kata belum masanya lagi. Itu cerita Rabu lepas. Cerita hari ni, wife aku baru hantar sms 'GET READY'.

Monday, January 07, 2008

Selamat Mengajar 2008

Beberapa bulan lepas, isteri aku, seorang guru, menghadiri temuduga untuk pengesahan lantikan (atau pengesahan jawatan? entah, aku pun tak faham sangat dengan sistem sumber manusia kerajaan) di Putrajaya. Ini merupakan temuduga kali keduanya setelah gagal kali pertama. Bukannya gagal kerana tidak dapat menjawab soalan, isteri aku adalah salah seorang personaliti yang aku kenal yang amat pandai menggoreng. Tetapi dia gagal kerana terlupa mematikan telefon bimbitnya, dan makciknya menelefonnya ketika ditemuduga, untuk bertanyakan status temuduga tersebut. Ironi.

Temuduga kedua, dia lebih bersedia. Telefon bimbitnya dimatikan lebih awal. Dan dia berjaya, alhamdulillah. Yang ingin aku kisahkan di sini ialah calon-calon yang lain, para guru muda. Aku hanya mengambil satu contoh sahaja, yang lain kalian boleh bayangkan sendiri bagaimana bersedianya mereka.

Untuk setiap sesi temuduga, terdapat seorang pembantu penemuduga yang banyak membantu para calon yang sedang menunggu di luar bilik. Beliau akan keluar masuk, memberikan bayangan soalan dan beberapa petua berguna untuk menghadap penemuduga yang tidak menentu perangainya. Dan kadang-kadang guru yang ditemuduga ini diberikan peluang keluar bilik mencari jawapan. Oh, fleksibel sungguh!

Sedang isteriku menunggu gilirannya untuk ditemuduga, seorang guru keluar dari bilik dengan keadaan cemas. Dia terus mengambil nota-notanya dan menyelak dengan pantas, mencari jawapan. Dia bukan orang yang pertama berbuat begitu, jadi isteri aku dan rakan-rakannya hanya membiarkan guru tersebut mencari jawapan kepada soalan yang mungkin amat susah. Kalau tak dapat, mungkin dia akan bertanya kepada mereka, biasalah. Tiba-tiba, pembantu penemuga keluar bilik dengan muka yang berkerut. "Hah, dah dapat jawapan apa itu 3M?" dia bertanya kepada guru tadi. "Membaca, menulis, mengira," jawab guru tadi dengan perlahan.

"Tau pun. Yang awak jawab Makan dan Minum tu kenapa?" pembantu penemuduga tadi separuh jerkah. Oh cikgu! 3M itukan asas. Aku tak kisah kalau para jurutera, doktor atau yang bukan guru tidak dapat mengingati apa itu 3M. Untuk guru tersebut, dan guru-guru serata Tanah Melayu, aku ucapkan Selamat Mengajar 2008 dan jangan lupa ambil sarapan pagi sebelum mengajar.

Thursday, January 03, 2008

new GREGORY year, new HOUSE

Aku tak pernah merayakan kedatangan tahun baru. tak pernah. Ia bukannya suatu perayaan. Lebih-lebih lagi tahun ini. Aku lebih menantikan kedatangan ahli keluarga baru.

Tetapi ada sesuatu yang menjadikan aku lebih bersedia dalam tahun 2008 ini. Sesuatu yang besar untuk aku dan keluarga, mungkin kecil untuk orang lain. Sejak 6 tahun lepas aku dan isteri telah berpindah rumah sebanyak 3 kali. Awal perkahwinan, kami menyewa di Taman Balakong Jaya, dekat dengan UPM untuk isteri aku berulang alik ke kelasnya. Waktu itu, taman ini seakan-akan pulau, di kelilingi rumah setinggan, hutan di satu bahagian dan tanah merah lapang di satu bahagian lain. Dan aku antara penghuni awal taman itu. surau pun menumpang di pejabat pemaju. Sekarang, aku rasa dah ada pam minyak di situ.

Sejurus selepas Balqis Hani lahir (dia lahir seminggu selepas isteri aku selesai peperiksaan akhir semester di semester terakhir), kami berpindah ke Bandar Country Homes, Rawang, menumpang ehsan di rumah abang aku. Ye la, isteri belum bekerja, aku cuma penarik kabel. 2 tahun kami tinggal di situ, aku mendapat tawaran bekerja di TM International Bangladesh. Ketika aku di sana, isteri aku menguruskan perpindahan kami ke Kampung Sungai Pencala sewaktu mengandungkan Bazli Hadi. Sehinggalah hari ini kami tinggal di sini, tempat yang aku rasa tak nak pindah ke mana-mana kalau aku diberi pilihan. Faham-faham je la kan, suasana kampung. Jiran-jiran semua kenal satu sama lain. Surau belakang rumah aje. 2,3 hari tak nampak muka (hari-hari balik keje lepas maghrib) pasti kena tegur 'lama tak nampak'.

Tapi adat orang merantau.

Kajang Pak Malau, Kajang berlipat,
Kajang hamba, mengkuang layu,
Dagang Pak Malau, dagang bertempat,
Dagang hamba, musafir lalu...

Aku perlu cari rumah sendiri untuk isteri dan anak-anak aku berteduh. Itu yang penting, rumah sendiri (walaupun buat pinjaman kat bank, secara praktikalnya, rumah sendiri la). Kalau aku mati dahulu, dari segi duniawi, sekurang-kurangnya mereka dah ada rumah tempat berteduh. Jadi, aku telah pun membeli sebuah rumah di Bangi. Aku baru sahaja menelefon pihak pemaju, dah 80% siap. Sebulan dua lagi mungkin siap 100%. Tapi, aku takkan pindah terus. Banyak lagi perkara yang perlu diuruskan. Kesimpulannya aku memilih untuk berpindah hujung tahun ini, sewaktu cuti sekolah yang panjang. Senang untuk aku menguruskan perpindahan dan isteri aku tidak perlu mengambil cuti. Lagi satu, aku mahu masuk rumah secara rasmi pada bulan Muharram 1429 (pembetulan:1430 sebenarnya hehe). Tahun baru Hijrah, semoga penghijrahan aku membawa rahmat.

2008. Tahun berhijrah. Semoga berjaya.