Friday, July 13, 2007

Minggu Perah

Hujung minggu hampir tiba. Aku antara mereka yang seakan-akan meraikan kedatangan hujung minggu. Kenapa? Kerana minggu ini adalah antara minggu yang meletihkan untuk aku. Isteri buat pertama kali secara rasminya pergi outstation di Kota Bharu. Ada seminar merangkap mesyuarat untuk guru-guru disleksia seluruh negara sejak Isnin lepas hingga pagi semalam. Rakan sepasukan aku untuk 3G Core Network Operation, Zulaimi dan Rafi pula pergi ke Beijing, menghabiskan duit syarikat (hahaha). Kenapa bukan aku yang pergi? Zulaimi sebagai ketua kumpulan memang kena pergi. Antara aku dan Rafi, aku kalah lambung syiling. Eireen pula baru sahaja melahirkan anaknya yang kedua, maka secara automatik bos kesayangannya Kak Pah akan mencari mangsa secara langsung; akulah tu yang sedang keseorangan. Selama ini segala masalah ICCS biasanya ditapis dan diselesaikan dahulu oleh Eireen sebelum sampai kepada kami untuk diselesaikan.

Jadi, akulah macai, penyelamat, belasahan, shoulder to cry on, dan segala-galanya kecuali hero (perkataan hero amat tidak digemari di kalangan puak kami di pejabat ini). Nasib baik juga, Zulaimi dan Rafi rajin menjenguk melalui VNC. Di rumah pula, nasib baik mak mertua aku ada, yang kebetulan datang menghantar adik iparku mendaftar di UITM Shah Alam. Bolehlah dia menjaga cucu-cucunya yang berdua itu.

Rabu lepas pula, untuk pertama kali dalam masa beberapa tahun, aku turun gelanggang bermain futsal. Tekanan di pejabat memberikan daya gerak yang baik untuk bersukan. Kali terakhir aku bermain bola ialah bersama-sama Auroran di Bangi. Aku menjangkakan aku akan muntah kepenatan tapi alhamdulillah tidak. Tapi ada juga cenderahatinya; pergelangan tangan kanan aku terkehel dan bengkak akibat cuba menahan rembatan seorang kaki gila bola. Kes tersilap teknik. Nak meramas dan menyuap nasi pun tak boleh. Jadi, untuk hujung minggu ini, selamat datang!!!

0 Comments:

Post a Comment

<< Home