Thursday, June 29, 2006

D-Day (Delivery Day)

Alhamdulillah, segala-galanya selamat.

Sebaik sahaja mendapat panggilan telefon dari isteri aku pada 12hb jun, aku terus berjumpa dengan bos aku dan seperti yang telah dijanjikan sebelum ini, dia mengizinkan aku pulang. Terus aku berkejar ke pejabat MAS, terpaksa menaiktaraf open ticket yg aku ada kepada business class untuk aku pulang malam itu juga. Jika tidak, aku terpaksa berada dalam waiting list yang hanya pasti ada kekosongan pada 26 Jun. Haha, mungkin tidak. Sesekali aku terfikir, kalau zaman dahulu, jangan harap seorang tentera yang sedang bertugas mampu kembali apabila isterinya mahu bersalin.

Isteri aku tidak merasa sakit, tetapi tanda-tanda lain telah muncul. Apabila sampai 15 Jun masih tidak merasa sakit, kami mengambil keputusan untuk terus ke hospital. Takut bayi lemas dalam kandungan, sesuatu yang mungkin terjadi. Doktor terus mengarahkan dia masuk ke wad bersalin dan menjalankan proses memecahkan air ketuban dan kemudian meninggalkan kami bersendirian. Selepas itu, barulah isteri aku merasa sakit, yang datang selang beberapa tempoh masa, dan semakin kerap. Aku hanya mampu mengusap kepalanya, menggenggam tangannya dan mengingatkan dia supaya beristighfar. (di bandar Muar dahulu, ada seorang tua yang berkebolehan memindahkan kesakitan waktu bersalin dari isteri kepada suami. Kami panggilnya Tok Yang, tinggal di antara Jalan Abdul Rahman dan Jalan Sultan Ibrahim. Sanggup?).

Selepas 3 jam, isteri aku meminta aku memanggil doktor. Doktor Susanna terus mengarahkan pembantunya bersedia kerana dia tahu masanya telah tiba. Tibalah detik itu, aku melihat bagaimana seksanya seorang wanita ingin melahirkan seorang lagi umat manusia ke dunia ini. Apa yang mampu aku buat? Setiap kali isteri aku meneran, otot-otot badan aku turut keras. Ingin aku berkongsi kesakitan tersebut tapi orang tua yang aku maksudkan tadi telah lama meninggal. Isteri aku hampir hilang tenaga, keletihan. Mungkin disebabkan dia membuang tenaga meneran di tekak, bukannya di bawah. Aku menjenguk melihat apa yang dipegang oleh Doktor Susanna. Entah, mungkin sebab aku dah biasa tengok grafik-grafik ganas, darah, peperangan, luka parah, aku tak rasa loya atau lemah. Ataupun, mungkin, mungkin sebab aku rasa aku tak boleh lemah pada ketika itu. Aku terus mengusap kepala isteri aku dan cuba membantu mengatur pernafasannya. Doktor Susanna mengambil keputusan menggunakan vakum. Tidak lama kemudian, dia dilahirkan. Doktor Susanna memberi aku penghormatan memotong tali pusatnya. Selepas dibersihkan, aku mengazankannya dan 'membelah' mulutnya dengan air zam-zam dan kurma, perkara yang sama aku lakukan kepada kakaknya sebelum ini. Alhamdulillah, penantian aku berakhir dengan selamat, pada hari itu.



Lelaki itu gagah? Perkara paling 'menakutkan' dalam hidup seorang lelaki adalah sunat. HAHAHAH. Nothing, man, nothing if you want to compare to bersalin. Nothing.

*selepas ini, seminggu yang amat panjang*

4 Comments:

Blogger blackpurple @ jowopinter said...

Tahniah bro'. Tahniah..........

Bersunat? Aku ada lain yang lebih menakutkan dari itu.... he he he...

7:34 AM, June 30, 2006  
Blogger Tok Rimau said...

Selamat Hari Bapa.

10:10 AM, June 30, 2006  
Blogger JBM8141 said...

bp
hah, aku rasa aku tahu apa yg kau maksudkan tapi secara jujur, aku tak takut waktu itu. sebab aku memang muka tak tau malu wahaha. merisik pun aku sendiri buat, masuk kampung orang yang tak pernah dijejak.
errr...ko cakap pasal kawin kan? mungkin sunat tu, aku patut tukar dari menakutkan kepada menyakitkan.

tok rimau,
terima kasih kerana datang menjenguk. afimon sihat?

12:00 PM, June 30, 2006  
Anonymous Anonymous said...

What a great site » »

10:38 AM, February 15, 2007  

Post a Comment

<< Home