Saturday, July 28, 2007

Harry Potter yang berumur

Kau tahu kau sudah berumur apabila

anak-anak saudara kau semakin ramai...

kawan-kawan sebaya kau yang belum berkahwin semakin kurang...

seorang demi seorang rakan sekerja kau meninggalkan syarikat...

kecederaan otot atau urat kau semakin lambat pulih...

orang di surau menolak kau ke depan menjadi imam...

Harry Potter sudah sampai ke penghujung ceritanya. Semalam aku mendapat email yang mengandungi salinan lembut (softcopy hahaha) Harry Potter and the Deathly Hallows. Tetapi aku hanya membaca 2 muka surat pertama sahaja kerana aku tidak pasti samada itu adalah cerita asal ataupun draf yang entah ke berapa puluh ditulis oleh JK Rowling. Aku mesti memiliki buku terakhir Harry Potter untuk melengkapkan koleksi aku. Borders, malam ni?

Teringat aku 2 tahun lepas sewaktu HP and the Half Blood Prince baru keluar di pasaran, aku seperti tahun ini juga tidaklah mengejar hari pertama munculnya buku itu di Malaysia. Aku tidak gemar bersesak-sesak kecuali jika wajib. Balik kampung di Muar, aku pergi ke kedai buku Popular di bangunan sebelah Toko Besar Senyum. Aku tidak ingat namanya. Yang aku tahu ialah Senyum, Hock Hai dan Upwell (kini Astaka) kerana aku membesar bersama mereka. Masih banyak HP and the HBP berada di rak. Tidak kelihatan versi dewasa, aku mengambil versi biasa yang bezanya hanyalah muka depan dan cara binding. Sewaktu mahu membayar di kaunter, aku didahului dua orang pelajar perempuan yang sebaya dengan adik ipar aku. Berdasarkan pakaian dan tudung mereka, aku rasa mereka dari sekolah menengah di sekitar Muar.

Dari perbualan mereka dan gadis penjaga kaunter, mereka telah menempah buku tersebut dan kini ingin mengambilnya. Aku menunggu dengan sabar dan dalam hati ingin juga aku mempromosikan Saga Artakusiad kepada mereka kerana mereka nampaknya meminati kisah sains fiksyen. Tetapi sewaktu membayar, aku nampak mereka menghadapi masalah. Harga buku tersebut lebih tinggi dari apa yang mereka sangkakan. Habis semua duit mereka keluarkan dari beg duit tetapi masih tidak cukup. Hanya kurang lagi tidak sampai 2 ringgit. Serba salah dan malu. Beberapa ketika mereka menoleh kiri dan kanan, yang mereka nampak hanyalah seorang pemuda di belakang mereka yang bermuka toya. Dengan tersenyum aku bertanya 'Berapa yang tak cukup tu?'. Aku cukup gembira untuk membantu kerana minat membaca mereka. 'Nah,' aku menghulur 2 ringgit tanpa menunggu mereka menjawab. Mereka mengangguk-angguk malu dan berkata 'Terima kasih, pakcik'.

Pakcik? ITU SATU LAGI CARA UNTUK MENGETAHUI BAHAWA KAU SEMAKIN BERUMUR HAHAHA. Aku berharap di Borders nanti gadis penjaga kaunter di sana tidak terlalu ramah dan menyapa aku dengan berkata 'Wah, lengkaplah koleksi Harry Potter anak encik ya?'.

Oh ya, selepas keluar dari Popular, aku mencari 2 orang pelajar tadi tapi tak terjumpa. Bukan untuk mengurat atau mempromosikan Saga Artakusiad yang ideanya hilang sebentar tadi, tapi untuk bertanya samada mereka mempunyai wang tambang untuk pulang. Kan aku seorang pakcik yang baik?

Saturday, July 14, 2007

New World

Ayuk ayuk ayuukkk...
Udah udah udah....
Ayuuukkk....
Udah udah....

Bibik Sari sudah sampei...

Friday, July 13, 2007

Apa ada pada nama (2)

Suatu hari di bulan Apil 2007, precint 11, Putrajaya.

Petang itu aku membawa keluargaku menghadiri majlis harijadi anak Zulaimi, rakan sepasukanku di CNO. Sambil menjamu selera dan menonton Pirates of The Carribean Dead's Man Chest di televisyen, aku melihat para tetamu datang dan pergi bersilih ganti. Tiba-tiba kehadiran seorang tetamu yang datang bersama isteri dan anaknya (tak payah jadi Matt Parkman, okey?) menangkap perhatianku. Rupanya seperti yang pernah ku lihat tapi di mana yaaa? Dia merenung mukaku dan aku merenung mukanya. "Macam kenal," katanya. "Kau ni FKE dulu kan?" aku terus bertanya. "Ha ah," jawabnya sambil tersenyum. "Aku Bad la," aku mengingatkan dia. Terus dia ingat; dan jangan tanya kenapa dia boleh ingat Bad ni. Dia pun menyebut nama dia; Zulhilmi dan kami meneruskan perbualan sebagai rakan lama. Tapi nama itu langsung tidak pernah melekat dalam kepala aku.

Sewaktu aku bangun untuk mengambil makanan untuk kali yang ke ... aku tak ingat... dia pun turut bangun mengambil makanan. Kesempatan yang ada, berjauhan sedikit dengan orang lain, aku bertanya lagi "kat FKE dulu budak-budak ni tak panggil kau dengan nama kau, kan?". "Ha ah," perlahan dia menjawab. "Apa budak-budak ni panggil kau dulu?" aku mendesak. "Errr, Putung," lagi perlahan naa suaranya. "AAAAA, ..." kemudian dengan perlahan aku menyebut "Putung... yang itu aku ingat laaaa". Aku tak pasti samada isterinya pun tahu nama panggilannya itu. Jadi, Putung @ Zulhilmi ini sekarang adalah orang kerajaan dan duduk di sebelah rumah Zulaimi di Putrajaya...

Apa nama panggilan aku waktu dahulu yang membuatkan rakan-rakan lama mengingati aku? Hehe, sewaktu sekolah rendah, rakan-rakanku memanggil aku Badut. Biasa la budak-budak. Tapi nama itu tak kekal. Di sekolah menengah, ada seorang rakanku yang suka melabel orang dan dia cuba memanggilku Mat Belia-Belia kerana cermin mata aku dan jugak kecenderungan aku memegang jawatan dalam persatuan di sekolah. Tapi nama itu jugak tidak kekal apabila dia mengetahui aku meminati aliran muzik yang sama dengannya. Jadi? Tiada. Maka tiadalah perlu bersembunyi dengan sesiapa mengenai sejarah hidup aku hehehe.... Yaa, hidup bebas merdeka tanpa nama yang mengarut!!!

Minggu Perah

Hujung minggu hampir tiba. Aku antara mereka yang seakan-akan meraikan kedatangan hujung minggu. Kenapa? Kerana minggu ini adalah antara minggu yang meletihkan untuk aku. Isteri buat pertama kali secara rasminya pergi outstation di Kota Bharu. Ada seminar merangkap mesyuarat untuk guru-guru disleksia seluruh negara sejak Isnin lepas hingga pagi semalam. Rakan sepasukan aku untuk 3G Core Network Operation, Zulaimi dan Rafi pula pergi ke Beijing, menghabiskan duit syarikat (hahaha). Kenapa bukan aku yang pergi? Zulaimi sebagai ketua kumpulan memang kena pergi. Antara aku dan Rafi, aku kalah lambung syiling. Eireen pula baru sahaja melahirkan anaknya yang kedua, maka secara automatik bos kesayangannya Kak Pah akan mencari mangsa secara langsung; akulah tu yang sedang keseorangan. Selama ini segala masalah ICCS biasanya ditapis dan diselesaikan dahulu oleh Eireen sebelum sampai kepada kami untuk diselesaikan.

Jadi, akulah macai, penyelamat, belasahan, shoulder to cry on, dan segala-galanya kecuali hero (perkataan hero amat tidak digemari di kalangan puak kami di pejabat ini). Nasib baik juga, Zulaimi dan Rafi rajin menjenguk melalui VNC. Di rumah pula, nasib baik mak mertua aku ada, yang kebetulan datang menghantar adik iparku mendaftar di UITM Shah Alam. Bolehlah dia menjaga cucu-cucunya yang berdua itu.

Rabu lepas pula, untuk pertama kali dalam masa beberapa tahun, aku turun gelanggang bermain futsal. Tekanan di pejabat memberikan daya gerak yang baik untuk bersukan. Kali terakhir aku bermain bola ialah bersama-sama Auroran di Bangi. Aku menjangkakan aku akan muntah kepenatan tapi alhamdulillah tidak. Tapi ada juga cenderahatinya; pergelangan tangan kanan aku terkehel dan bengkak akibat cuba menahan rembatan seorang kaki gila bola. Kes tersilap teknik. Nak meramas dan menyuap nasi pun tak boleh. Jadi, untuk hujung minggu ini, selamat datang!!!